KUALA LUMPUR: Jambatan kecil di Jalan 2/76, Desa Pandan yang sebelum ini menjadi isu keselamatan kepada penduduk kerana kenderaan berat kerap melalui laluan itu, akan ditutup kepada kenderaan.
Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, jambatan tersebut hanya akan dibuka kepada pejalan kaki dan penunggang motosikal.
Ujarnya, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, hari ini.
“Saya bagi tahu Menteri Wilayah, penduduk di kawasan ini terdapat 43 buah blok seluruh Desa Pandan, sekolah berdekatan (juga ada) dan ini adalah kawasan perumahan kos rendah.
“Banyak penduduk di sini pergi sekolah jalan kaki, tetapi banyaklah kereta-kereta yang tak pernah lalu tempat ini dah mula lalu.
“Tapi ada satu jambatan (kecil) kita buat untuk motosikal dan pejalan kaki di mana kita ada penghadang untuk lori tidak lalu, tetapi ada lori yang melanggar penghadang itu, jadi tempat selalu kemalangan kerana kecuraman jalan di situ,” katanya.
Tambahnya, mesyuarat itu turut memutuskan beberapa tindakan awal, termasuk pemasangan penghadang jalan bagi mengehadkan penggunaan laluan tersebut kepada motosikal dan pejalan kaki sahaja.
“Datuk Bandar kata kita boleh buat besi supaya basikal, motosikal sahaja boleh lalu, perparitan (jambatan kecil) itu milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Kalau ikut saya, nak tutup (jambatan) itu dah, tapi pandangan menteri mungkin boleh bagi orang jalan kaki atau motosikal boleh lepas,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat kawasan gerai penjaja dan jambatan pejalan kaki di Jalan 2/76, Desa Pandan, di sini hari ini.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Terdahulu, Johari pernah mengetengahkan isu jambatan berkenaan yang didakwa mengancam keselamatan penduduk akibat penggunaan laluan itu oleh kenderaan berat sehingga mengakibatkan kemalangan.
Sementara itu, Dr Zaliha memaklumkan bahawa tindakan menutup laluan berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Kemungkinan kita menutup jalan itu untuk menghalang kenderaan berat, kalau tengok memang tidak sesuai jalan itu dilalui lori, bas kerana kecuraman tidak sesuai menyebabkan kemalangan,” katanya.
Sumber: TV3

