Johari minta KKM, MOF teliti kesesakan Klinik Kesihatan Kampung Pandan

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mahu isu lambakan pesakit di Klinik Kesihatan Kampung Pandan di sini, diberi perhatian dalam peruntukan Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan bulan depan.

Johari berkata, beliau sudah membawa isu berkenaan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk penelitian Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi bagi tindakan selanjutnya.

“Untuk Hospital Kuala Lumpur (HKL), mereka sudah buat permohonan sendiri (kepada KKM).Tetapi bagi saya sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa, saya beri penumpuan kepada Klinik Kesihatan Kampung Pandan sebab terlampau sesak. Jika dulu boleh kendalikan 300 hingga 600 pesakit sehari sekarang terima lebih 1,000 pesakit.

“Sekarang kawasan itu semakin berkembang kerana banyak (pesakit) bukan hanya Kampung Pandan saja tetapi orang luar seperti Pandan dan Ampang sehingga terpaksa pakai kontena sebab terlampau ramai.

“Saya sudah membawa permohonan ini kepada KKM. Saya pun sudah bercakap dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menjaga soal infrastruktur ini untuk menyelesaikan isu ketidakselesaan di Klinik Kesihatan Kampung Pandan ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Hari Ekzema Sedunia 2024 di HKL di sini, tadi.

Turut hadir, Ketua Sub Kepakaran Dermatologi KKM, Dr Azura Mohd Affandi serta Timbalan Pengarah (Perubatan) HKL, Dr Shahrum Ismail.

Mengulas lanjut, Johari berkata, setakat ini Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan mengenal pasti tanah kosong di kawasan Cochrane kemungkinan potensi untuk menggantikan kemudahan sedia ada.

“Saya juga sudah berbincang dengan pihak Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan mereka sudah mengenal pasti ada tanah di Cochrane.

“Jadi, saya kata seharusnya ambil peluang itu untuk buat kawasan (klinik) lebih selesa untuk menggantikan tempat (kemudahan) kita ada sekarang ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Shahrum berkata, ekzema adalah salah satu penyakit kulit kronik paling banyak dirawat di klinik dermatologi dengan purata lebih 100 kes rujukan baharu setiap bulan.

“Bagi tahun 2023 saja, lebih 5,000 pesakit ekzema dalam rawatan susulan di HKL.

“Jadi sebab itu, inisiatif hari ini (semalam) dilakukan bagi memberi pendedahan dan berkongsi dengan seramai mungkin orang awam terutama ibu bapa kepada pesakit mengenai penyakit ini,” katanya.

SUMBER: MYMETRO