Industri ladang perlu berhenti bergantung kepada pekerja asing, bangunkan tenaga muda tempatan

Industri ladang perlu berhenti bergantung kepada pekerja asing, bangunkan tenaga muda tempatan_YusrinuddinAbdKarim

Kuala Lumpur: Industri perladangan diseru supaya berhenti daripada terlalu bergantung kepada pekerja asing dan mula melabur secara serius dalam membangunkan tenaga kerja muda tempatan yang selama ini dipinggirkan daripada peluang kerjaya bermaruah.

Ketua Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR) Mohammad Rizan Hassan berkata, langkah tegas kerajaan mewajibkan syarikat melatih dan menggaji pelatih tempatan dalam program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebelum dibenarkan mengambil pekerja asing adalah satu dasar tepat dan berani yang perlu disokong semua pihak.

Katanya, dasar itu bukan sekadar soal pengurusan tenaga kerja, tetapi menyentuh soal maruah dan kedaulatan sumber manusia negara sendiri.

“Malaysia mesti didukung oleh tenaga mudanya sendiri terlebih dahulu. Sudah terlalu lama industri kita bermalas-malas dengan kebergantungan terhadap pekerja asing atas alasan kononnya anak tempatan tidak mahu kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar).

“Tetapi adakah mereka (industri) pernah serius menyediakan laluan kerjaya, gaji yang bermaruah dan persekitaran kerja manusiawi untuk belia? “Sekadar letak iklan dan tunggu, itu bukan pembangunan sumber manusia, itu hanya memilih jalan pintas,” katanya.

Menurutnya, contoh yang ditunjukkan oleh syarikat seperti SD Guthrie Berhad dan FGV Holdings Berhad yang melabur dalam latihan, menyediakan penginapan selesa dan menawarkan gaji bermula RM2,500 kepada pelatih TVET perlu dijadikan penanda aras oleh pemain industri lain.

Katanya, syarikat progresif seperti itu bukan sahaja mematuhi dasar kerajaan, malah turut membuka jalan kerjaya jangka panjang untuk belia tempatan yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. “Kalau mereka boleh lakukan, mengapa syarikat lain tidak? Apakah industri hanya mahukan hasil tanpa mahu menyemai bakat? Jangan harap anak muda sanggup turun ke ladang kalau masih dibayar bawah RM1,500 dan ditempatkan di asrama usang.

“Mereka bukan hamba moden. Mereka pekerja yang perlukan peluang untuk hidup bermaruah,” katanya. Rizan turut mengingatkan bahawa pelaksanaan dasar kerajaan itu perlu diterjemahkan secara ikhlas oleh industri, bukan sekadar memenuhi keperluan birokrasi dengan melaksanakan latihan ala kadar tanpa menyediakan ruang penempatan atau kemajuan kerjaya.

Katanya, sudah tiba masanya industri perladangan mengubah budaya kerja yang terlalu selesa dengan buruh asing dan benar-benar mempercayai kebolehan anak tempatan sebagai pemacu ekonomi masa depan.

“Dasar ini bukan sekatan kepada pekerja asing, tetapi satu isyarat perubahan budaya kerja. Kita tidak akan mampu berdiri sebagai bangsa berdaulat jika anak mudanya terus dianggap tidak layak, tidak sesuai atau tidak mahu bekerja.

“Soalnya bukan mahu atau tidak. Soalnya, adakah industri benar-benar mahu membuka ruang dan mempercayai belia negara sendiri?” katanya.

Terdahulu, semalam, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengumumkan mana-mana syarikat perladangan yang mahu menggaji pekerja asing diwajibkan terlebih dahulu melatih dan menggaji lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui program TVET Perladangan. Menurutnya, langkah itu penting dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan melahirkan tenaga kerja muda tempatan yang berkemahiran tinggi, memandangkan sektor perladangan membabitkan pelbagai aktiviti bernilai tinggi seperti penapisan minyak sawit dan pemprosesan kimia.

 

SUMBER: Metro