KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menumpukan kemasukan kenderaan elektrik (EV) import kepada segmen mewah bagi melindungi ekosistem automotif tempatan serta mengelakkan lambakan kenderaan murah di pasaran.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengeluar luar yang ingin menembusi pasaran tempatan perlu menawarkan EV berkelas tinggi, manakala segmen harga rendah dan sederhana akan terus diperkukuh oleh pemain industri tempatan.
“Kalau pengeluar luar mahu masuk, mereka perlu membawa EV berkelas tinggi. Jika mereka membawa model harga rendah, kita sudah ada dua syarikat tempatan yang mampu melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pelancaran Proton e.MAS 7 PHEV di sini, hari ini.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan pasaran tempatan tidak menjadi lokasi lambakan kenderaan murah yang boleh menjejaskan kelangsungan industri automotif negara.
“Kita mahu pastikan negara kita tidak menjadi tempat lambakan. Kita mahu EV yang masuk ke Malaysia bukan semata-mata kerana harganya murah, sebaliknya berkualiti dan memberi nilai kepada industri,” katanya.
Johari berkata, sektor automotif merupakan antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia, dengan sumbangan sekitar lima peratus atau bersamaan RM82 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Sektor itu turut menyokong lebih 700,000 peluang pekerjaan merangkumi rantaian bekalan berteknologi tinggi dan canggih.
“Pada tahun 2025, Malaysia mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah bagi jumlah volum industri (TIV) dengan 820,752 unit, sekali gus menjadi bukti jelas pemulihan domestik yang kukuh dalam tempoh pasca pandemik,” katanya dalam ucapan pada majlis sama.
Katanya, pencapaian itu didorong oleh pengeluaran kenderaan yang mantap, dengan purata melebihi 750,000 unit setahun bagi tempoh antara 2022 hingga 2025.
“Pada masa sama, kita menyaksikan perubahan ketara dalam keutamaan pengguna. Walaupun keseluruhan TIV meningkat secara sederhana sebanyak 0.5 peratus tahun lalu, jualan kenderaan elektrik dan hibrid (xEV) melonjak ketara sebanyak 52 peratus,” katanya.
Hasilnya, xEV merangkumi 8.5 peratus daripada jualan kenderaan baharu, manakala kenderaan hibrid dan elektrik menyumbang 8.7 peratus daripada jumlah pendaftaran kereta pada tahun 2025.
Trajektori ini memberi keyakinan untuk mencapai sasaran nasional 30 peratus pegangan pasaran xEV menjelang 2030.
SUMBER: Buletin TV3

