KUALA LUMPUR: Tindakan Goldman Sachs memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London, adalah cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada melakukan pembayaran interim berjumlah AS$250 juta.
Pengerusi pasukan petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pihaknya terkejut dengan tindakan Goldman Sachs kerana kedua-dua pihak masih dalam peringkat perbincangan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian secara baik.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan perkembangan terbaharu itu kerajaan Malaysia akan bersiap sedia untuk memberikan respon kepada perkara berkenaan.
“Kerajaan juga akan memastikan proses itu dilakukan dengan teliti dan mengikut rangka kerja undang-undang yang ditetapkan bagi memastikan kepentingan rakyat Malaysia terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Kumpulan Goldman Sachs memfailkan saman terhadap Malaysia ketika ketegangan semakin memuncak berhubung isu penyelesaian berkait peranannya dalam skandal dana 1MDB.
Terdahulu, saman itu dilaporkan oleh Bloomberg News.
Mengulas lanjut, Johari berkata, bagi memastikan orang ramai dimaklumkan sepenuhnya berhubung situasi semasa, pihaknya ingin memaklumkan beberapa perkara penting mengenai perjanjian penyelesaian Goldman Sachs.
Katanya, Perjanjian Penyelesaian Goldman Sachs ditandatangani pada 18 Ogos 2020 dan mempunyai dua bahagian iaitu pembayaran tunai sebanyak AS$2.5 bilion yang perlu dibayar dalam tempoh 10 hari selepas menandatangani perjanjian penyelesaian dan Jaminan Pemulihan Aset sebanyak AS$1.4 bilion oleh Goldman Sachs dalam tempoh lima tahun dari tarikh perjanjian penyelesaian.
“Di bawah Jaminan Pemulihan Aset sebanyak AS$1.4 bilion oleh Goldman Sachs, sekiranya kerajaan tidak menerima semula AS$500 juta pada 18 Ogos 2022 (dua tahun dari tarikh perjanjian penyelesaian), Goldman Sachs dikehendaki membayar AS$250 juta sebagai bayaran interim kepada kerajaan Malaysia.
“Pada 18 Ogos 2022, kerajaan Malaysia tidak memperoleh semula AS$500 juta, oleh itu kerajaan berhak menerima bayaran interim sebanyak AS$250 juta. Perkara itu bagaimanapun dipertikaikan oleh Goldman Sachs,” katanya.
Perjanjian penyelesaian berkenaan membenarkan kedua-dua pihak untuk terbabit dalam perbincangan bagi tempoh tiga bulan sekiranya timbul pertikaian berkaitan dengan perjanjian penyelesaian.
Lanjutan masa yang berasingan telah diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada Goldman Sachs apabila tarikh akhir ditetapkan awal 18 Ogos 2022 telah tamat tempoh dalam usaha menyelesaikan pertikaian itu secara baik.
Johari berkata empat lanjutan tempoh yang diberikan adalah seperti berikut:
(a) Goldman Sachs meminta lanjutan masa selama tiga bulan pada 8 September 2022, dan lanjutan tempoh ini tamat tempoh pada 8 Disember 2022 (Lanjutan masa pertama);
(b) Pada 8 Disember 2022, lanjutan masa telah diberikan dan ia tamat tempoh pada 8 Februari 2023
(Lanjutan masa kedua);
(c) Pada 8 Feb 2023, lanjutan masa telah diberikan sekali lagi, dan ia tamat tempoh pada 8 Mei 2023 (Lanjutan tempoh ketiga); dan
(d) Lanjutan masa terakhir diberikan pada 8 Ogos 2023 dan tamat tempoh ditetapkan pada 8 November 2023
(Lanjutan masa keempat).
Johari berkata, jika penyelesaian tidak dicapai antara pihak terlibat pada tarikh akhir, 9 November 2023, kerajaan boleh memulakan prosiding timbang tara berhubung pembayaran interim sebanyak AS$250 juta.
“Ketika ini dan seperti yang dinyatakan di atas, pihak yang terlibat masih dianggap berada dalam peringkat perbincangan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian secara baik dan sebagai pihak yang terkilan, Pasukan Petugas 1MDB melihat permulaan prosiding timbang tara Goldman Sachs sebagai tindakan pramatang dan tanpa pertimbangan sewajarnya dengan prasyarat yang diperlukan,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN