GLC, GLIC perlu seimbang antara keuntungan & tanggungjawab sosial – Johari Ghani

PETALING JAYA: Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak seharusnya beroperasi berasaskan matlamat keuntungan semata-mata, sebaliknya perlu berperanan sebagai pemacu pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat. 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menegaskan perkara itu ketika menjadi panel dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) siri lima yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini.

Menurut beliau, GLC seperti Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) ditubuhkan bukan hanya untuk mencatat keuntungan kewangan, malah turut memikul tanggungjawab strategik kepada negara.

“Khazanah Nasional, sebagai contoh, mengurus aset bernilai RM150 bilion dengan mandat pelaburan strategik. Ia melabur dalam syarikat-syarikat besar di Bursa Malaysia dan berperanan membina industri yang tidak mampu ditanggung oleh sektor swasta kerana risiko yang tinggi,” katanya.

Johari turut menjelaskan KWAP, sebagai dana persaraan bagi sektor awam, kini menyumbang kira-kira RM5 bilion setahun kepada kerajaan.

Langkah itu dilihat mampu membantu mengurangkan beban fiskal kerajaan yang pada masa ini membelanjakan sekitar RM30 bilion setahun untuk pembayaran pencen.

“Jika KWAP dapat menjana pulangan sehingga RM10 bilion atau RM15 bilion setahun, ini akan membantu mengurangkan defisit negara. Begitu juga dengan PNB yang mengurus aset rakyat bernilai RM347 bilion, serta LTAT dengan aset sekitar RM14 bilion,” jelasnya.

Tambah beliau, pelaburan oleh dana itu adalah berbeza dengan pelaburan syarikat swasta kerana matlamat utamanya bukan untuk mengawal syarikat, tetapi untuk memaksimumkan pulangan jangka panjang dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan bahawa tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh GLC tidak seharusnya terhad kepada penyerahan sumbangan kewangan, tetapi perlu merangkumi aspek pembangunan bakat tempatan, pengukuhan rantaian bekalan domestik serta membantu komuniti yang memerlukan.

“Kita perlu melihat semula objektif asal penubuhan setiap dana ini. Pelaburan yang dibuat perlu memberi manfaat jangka panjang kepada negara termasuk menyumbang kepada pembangunan industri dan modal insan,” ujarnya.

Forum itu turut disertai Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Nungsari Ahmad Radhi.

 

SUMBER: Buletin TV3