JOHOR BAHRU: Barisan Nasional diseru menggiatkan penjelasan kepada pengundi tegarnya berhubung realiti semasa, agar mereka menerima dan memilih kerajaan perpaduan pada pilihan raya kelak.

Naib Presiden Umno Johari Ghani percaya penyokong setia harus tahu kenapa bukan gabungan mereka yang bertanding pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, dan kenapa BN membantu Pakatan Harapan.

“Mereka setiap kali pilihan raya akan lihat BN bertanding, tidak pernah tengok BN tak bertanding. Tetapi kali ini BN tak bertanding, kita tolong PH bertanding. Kita kena banyak jelaskan kepada mereka,” katanya kepada pemberita ketika melawat perkampungan Orang Asli Bakar Batu, di Perling.

Johari, yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata pemimpin BN harus pastikan pengundi tegar gabungan itu faham tentang keperluan dan timbal balas kerjasama antara komponen kerajaan perpaduan.

“Kalau nak terus berkhidmat kepada masyarakat dan bangunkan negara kena terima dinamik politik,” katanya, mengingatkan bahawa BN menjangkakan komponen kerajaan perpaduan lain turun membantu apabila ia pula berdepan pilihan raya.

“Kita juga nak tunjukkan keikhlasan. Ini yang penting,” katanya.

Pada minggu pertama kempen, terdapat dakwaan mengatakan ahli-ahli Umno enggan menyokong calon PH, kerana komponennya terdiri daripada DAP, yang dilihat sebagai seteru sejak puluhan tahun.