KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan merobohkan sembilan gerai penjaja di Desa Pandan seperti dirancang sebelum ini bagi kerja pelebaran jalan.
Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif hari ini.
“Saya sudah bincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak akan roboh (gerai terbabit untuk pelebaran jalan).
“Cuma mereka merasakan bahawa struktur yang dibuat atas tanah ini seolah-olah tidak lihat macam penjaja. Naikkan (dinding) batu apa semua itu tak boleh (sebenarnya).
“Saya cuma hendak perjuangan benda yang boleh kita bantu penduduk dan penjaja. Ya kita faham memang mereka cari makan. Cumanya ada banyak syarat (kena patuhi) dan kena susun atur semula (gerai terbabit).
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat kawasan gerai penjaja dan jambatan pejalan kaki di Jalan 2/76, Desa Pandan di sini, hari ini.
Hadir sama dalam lawatan itu, Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Sumber: TV3

