Waktu Operasi : Isnin - Jumaat | 9.00am - 5.30pm

Berita

Home > Berita

Dapatkan Input Secara Terus, Johari Berdialog Dua Hala Bersama Pemegang Taruh Industri Sawit

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Selasa telah mengadakan dialog dua hala bersama pemegang taruh industri sawit Malaysia terdiri daripada pelbagai persatuan yang mewakili pemain serta syarikat di dalam industri yang terlibat secara langsung dalam sektor sawit negara.

Ujar Naib Presiden UMNO itu, mereka yang terlibat terdiri daripada pelbagai aktiviti dalam sektor sawit iaitu huluan (upstream), pertengahan (midstream) dan hiliran (downstream).

“Kesemua mereka yang hadir diberikan peluang untuk berdialog secara terus dengan saya untuk mengajukan permasalahan yang berkait rapat dengan industri sawit atau memerlukan pertolongan kerajaan bagi menyelesai serta memahami masalah industri.

“Melalui perjumpaan yang berlangsung selama lima jam ini, saya telah mengambil banyak ‘direct-input’ atau maklumat secara terus dari pemain-pemain industri ini,” katanya dalam satu perkongsian di laman sosial Facebook dan akaun X.

Tambah Ahli Parlimen Titiwangsa itu, segala perkara yang diajukan akan beliau kaji dan rungkaikan satu per satu bersama pasukannya dalam kementerian dengan membawa strategi dan pengkhususan solusi yang boleh memberi ‘win-win situation’ kepada mereka, kerajaan dan negara kita.

“Saya tidak mahu permasalahan sektor sawit yang kita hadapi hanya diselesaikan dengan dapat memanfaatkan satu pihak sahaja. Konteks ini penting bagi menjadikan komoditi sebagai sebuah pengeksportan utama negara kita,” katanya.

Johari juga mengucapkan terima kasih kepada semua persatuan yang mewakili pemain serta syarikat di dalam sektor sawit hadir dalam dialog terbuka itu antaranya seperti Malaysian Palm Oil Association (MPOA), Malaysian Estate Owners’ Association, Malaysian Oleochemical Manufacturers Group (MOMG), The Incorporated Society of Planters (ISP) dan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia.

Begitu juga dengan kehadiran Federation of Palm Oil Millers’ Associations of Malaysia (POMA), Sarawak Dayak Oil Palm Planters Association (DOPPA), East Malaysia Planters’ Association (EMPA), Sarawak Oil Palm Plantation Owner’s Association (SOPPOA), Malaysian Biodiesel Association (MBA), Palm Oil Refiners Association of Malaysia (PORAM) dan lain-lain. – UMNO ONLINE

Sumber : UMNO ONLINE

Previous Johari offered to become co-chair of Forest, Agriculture and Commodity Trade (FACT) Dialogue

Johari Ghani © 2023. Hakcipta Terpelihara.