SEPANG: Barisan Nasional (BN) perlu menang kesemua 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini demi menjadi relevan dalam persada politik negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, menegaskan kemenangan itu juga akan membuatkan BN akan lebih dihormati.

Sehubungan itu katanya, selagi tempoh berkempen belum berakhir, semua calon dan jentera perlu bekerja keras memastikan kemenangan BN pada PRN kali ini.

“Jadi apa yang penting, 12 daripada 56 kerusi DUN di Selangor ini, kita nak pastikan semua 12 ini menang kerana apabila kita memang, baru orang merasakan bahawa BN masih relevan dan pada masa akan datang orang akan lebih hormat kepada kita.

“Jadi apabila nanti kita nak bertanding 15 kerusi, 20 kerusi atau lebih, orang akan lebih yakin dan sebab itu saya sangat berharap 12 DUN yang kita tanding di Selangor ini, kalau boleh kita nak menang semuanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kasih Selangor di Bilik Gerakan Utama BN DUN Dengkil di sini, hari ini.

Yang turut hadir, calon BN DUN Dengkil, Noorazli Said.

Dalam pada itu, Johari mengingatkan Noorazli supaya tidak berasa terlalu selesa dan pada masa sama menasihatkan calon BN itu supaya tidak terlalu bimbang dengan PRN yang sedang berlangsung ketika ini.

“Saya rasa saudara Noorazli jangan risau sangat cuma dalam politik, selagi belum habis kempen, kita jangan rasa selesa sangat kerana saya mempunyai pengalaman bertanding ketika kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kawasan pembangkang, saya menang.

“Bagaimanapun, apabila masuk PRU14, saya kalah. masa itu (PRU13) tiada jawatan saya menang, selepas itu ada jawatan Menteri Kewangan II, saya kalah pula,” katanya.

Sementara itu, Noorazli ketika ditemui, mendakwa beliau sudah menemui hampir semua pengundi sejak hari pertama kempen bermula.

Katanya, kebanyakan maklum balas diterima menunjukkan BN berada di landasan yang baik khususnya daripada pengundi muda.

“Di DUN Dengkil ada 93,931 pengundi, jadi kebanyakan respon pengundi sangat baik kepada calon Kerajaan Perpaduan dan mereka menzahirkan keterujaan menunggu 12 Ogos ini untuk memilih wakil rakyat.

“Ini kerana mereka melihat ini adalah formula terbaik selepas kita bertukar beberapa kali kerajaan sejak 2018 dan mereka mengharapkan kerajaan yang ada hari ini diberi peluang untuk mentadbir selama lima tahun,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pengundi muda, Noorazli berkata, beliau melihat golongan terbabit semakin matang kerana mereka menginginkan seorang wakil rakyat yang mudah ditemui dan sentiasa berada di kawasan.

Bagi PRN Selangor, BN bertanding di 12 kerusi iaitu di DUN Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Batang Kali, Sungai Burong, Jeram, Kuang, Gombak Setia, Dusun Tua, Semenyih, Selat Klang, Sijangkang, dan Dengkil.