BENTONG: Pengusaha resort atau ladang durian di sekitar Bentong khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, di sini, diminta memanfaatkan tenaga masyarakat Orang Asli sebagai pekerja.
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata berdasarkan tinjauannya di sekitar perkampungan Orang Asli di Pelangai, ada pihak yang mengusahakan tanah di sini sebagai tempat pelancongan dilihat meminggirkan’ golongan terbabit.
Justeru, Ahli Parlimen Titiwangsa itu menegaskan supaya Orang Asli di sekitar kawasan terbabit diberikan peluang untuk bekerja di tempat asal mereka sendiri.
“Masa saya pergi ke perkampungan Orang Asli Sungai Bot (pagi) tadi, saya nampak ada sebuah resort durian dan dibuat macam-macam di situ.
“Tetapi mereka tidak melibatkan Orang Asli di kawasan itu. Saya tengok pelancong yang datang ramai ke kawasan itu.
“Saya fikir, kita (kena) wajibkan mereka (pengusaha resort dan ladang durian) untuk mengambil anak-anak Orang Asli itu bekerja di dalam itu. Itu salah satu usaha yang saya nampak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program jelajah mesra dan ziarah kasih masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Gapoi di sini, hari ini.
Selain isu pekerjaan, Johari yang juga Naib Presiden UMNO berkata isu lain yang menghimpit masyarakat Orang Asli di kawasan itu adalah kurang hasil pendapatan, sekali gus beliau mencadangkan kawasan berpotensi diketengah sebagai tumpuan pelancongan sekitar perkampungan Orang Asli, dijadikan sumber mata pencarian mereka.
Memberi contoh tarikan yang boleh diangkat sekitar perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Gapoi adalah air terjun.
Beliau berkata, pendekatan yang boleh masyarakat Orang Asli setempat lakukan adalah mengenakan caj kepada pelancong yang ingin berkunjung ke kawasan berkenaan.
“Saya agak tertarik dan tadi pun saya ada berjumpa dengan tok batin di kawasan ini termasuk semua pemimpin di sini. Beliau ingin melihat macam mana kerajaan negeri boleh melihat (kawasan) air terjun (Sungai Gapoi) kerana banyak orang tak tahu (kewujudan) air terjun ini.
“Kita merasakan apabila mempromosikan kawasan air terjun ini, kalau orang datang kita nak biar ketua-ketua kampung di sini (uruskan)…mereka boleh buat macam kutipan tol. Boleh kenakan caj RM2 atau RM3 supaya mereka ini boleh turut serta menikmati aktiviti pelancongan di kawasan mereka.
“Sebabnya, kebanyakan daripada kita apabila masuk tempat pelancongan orang, kemudian kita buat aktiviti pelancongan, mereka ini tertinggal. Jadi kalau boleh Orang Asli ini sendiri kutip caj daripada pengunjung, ” katanya.
Selain itu, beliau berharap dibantu juga keluarga Orang Asli yang tiada sijil kelahiran bagi membolehkan permohonan bantuan dilakukan.
Sumber : BERITA HARIAN