JOHOR BAHRU: Orang Melayu tidak boleh taasub dan terbawa-bawa berpolitik sehingga negara menjadi tidak stabil, sekali gus menyebabkan ekonomi negara sukar dibangunkan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata kestabilan negara adalah kunci utama bagi membolehkan Kerajaan Perpaduan membangunkan ekonomi negara.
Katanya, sikap terlalu taasub berpolitik dalam kalangan orang Melayu hanya menyebabkan ketidakstabilan, sekali gus akan menjadi penghalang ekonomi negara berkembang.
Justeru, tegasnya, masyarakat Melayu tidak boleh lagi terus berpolitik sehingga menyebabkan negara tidak stabil manakala ekonomi sukar dibangunkan.
“Negara kita kini berdepan kadar pengangguran tinggi dan masalah ini tidak dapat diselesaikan jika masyarakat taasub berpolitik sepanjang masa.
“Membangunkan ekonomi adalah antara fokus Kerajaan Perpaduan ketika ini dan ia bukan mengambil masa pendek kerana untuk menyelesaikannya memerlukan masa.
“Kita kena bina asas itu semula dengan syarat kestabilan dapat dicapai.
“Masyarakat Melayu kena faham, pembangunan itu dituntut dalam Islam. Jangan hanya pakai slogan membangun bersama Islam namun negeri ke belakang.
“Usah jual agama kerana mahukan kerusi (politik). Jual agama untuk kerusi tak boleh buktikan kredibiliti parti kita, malah hanya menghalang pembangunan negara ke tahap seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program ziarah kasih bersama penduduk Kampung Orang Asli Bakar Batu, Perling di sini, hari ini.
Hadir sama, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.
Muka depan semua akhbar terbitan NSTP hari ini melaporkan menyedari bahaya dihadapi negara dan rakyat pada masa depan.
Sidang Pengarang Berita Harian (BH), New Straits Times (NST) dan Harian Metro (HM) berpandangan manifestasi dan eksploitasi isu agama serta kaum sudah keterlaluan dan melampau.
Malah, ia boleh dianggap ‘menunggang’ demi kepentingan politik jangka pendek tanpa menghiraukan kesan buruk yang telah pun kelihatan.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa dan bekas Menteri Kewangan II berkata, lazimnya pada pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor ketika ini, orang Melayu dimomokkan oleh parti politik yang bercerita seolah-olah hanya orang Melayu tinggal di negara ini.
“Dalam komposisi parti membina kerajaan, kita tak boleh lari daripada menerima hakikat Malaysia sudah tidak ada parti yang yang boleh mendakwa mendapat majoriti tunggal.
“Politik ini dinamik sifatnya dan perlu berubah. Sekarang ini, kita nampak Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO buat keputusan bersama-sama PH untuk mewujudkan kestabilan kerajaan.
“Kalau nak terus berkhidmat kepada masyarakat dan bangunkan negara, kena terima dinamik politik baharu ini.
“Kita boleh kongsi kuasa. Malaysia bukan ada Melayu sahaja kerana banyak kaum seperti Cina, India serta pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak yang ada peranan masing-masing,” katanya.
Sehubungan itu, Johari meminta Perikatan Nasional (PN) terutama PAS menunjukkan hasil bagaimana mereka membangunkan negeri dikuasai iaitu Perlis, Kelantan, Kedah dan Terengganu.
“Jika boleh buktikan pembangunan negeri dapat dicapai, baru masyarakat percaya kepimpinan Islam itu progresif walaupun berfahaman konservatif,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN