Anggota UMNO usah hanyut dengan nostalgia, perlu tonjol kepimpinan kepada generasi muda – Johari

Anggota UMNO usah hanyut dengan nostalgia, perlu tonjol kepimpinan kepada generasi muda_JohariAbdulGhani_YusrinuddinAbdKarim

KUALA LUMPUR: Semua perwakilan UMNO digesa untuk mengubah pemikiran agar tidak boleh terus hanyut dengan nostalgia kegemilangan kepimpinan terdahulu.

Ini kerana 40 peratus pengundi pada pilihanraya umum (PRU) akan datang terdiri daripada generasi muda yang mempunyai dinamik dan pemikiran berbeza.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, generasi baharu ini berkebolehan menilai pemimpin untuk menentukan siapa yang mampu mencorak kehidupan pelbagai kaum di Malaysia.

“Anak-anak muda dia tak nak dengar soal kita mengasingkan masyarakat majmuk, kawan-kawan dia ni semua masyarakat majmuk, dia nak bagaimana seseorang pemimpin itu boleh mengolah kehidupan masyarakat majmuk dalam negara kita,” katanya dalam ucapan dasar Mesyuarat, Perwakilan UMNO bahagian Titiwangsa 2025, hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa itu turut menegaskan kepentingan menjaga silaturrahim dan tidak boleh menidakkan masyarakat bukan Melayu dalam negara.

Jelasnya sekiranya perwakilan masih di takuk pemikiran yang lama, kemungkinan besar generasi muda akan hilang kepercayaan terhadap mereka.

“Dia tak nak cerita pasal nostalgia, dia nak tengok pemimpin yang akan datang ni ada tak ketelusan dalam kepimpinan, nak tengok mereka ada tak keterbukaan.

“Dia nak tengok sama ada pemimpin itu mempunyai integriti, kredibiliti dalam kepimpinan, dia nak tengok sama ada pemimpin itu terpalit tak dalam soal-soal rasuah.

“Dia nak tengok sama ada pemimpin ini mempunyai pengetahuan untuk membina generasi mereka, anak mereka, cucu mereka, cicit mereka.

“Dia nak tengok ada tak komitmen yang tinggi daripada pemimpin-pemimpin yang akan memimpin mereka dan generasi mereka, dari segi soal perjuangan untuk meningkatkan dan memartabatkan bangsa dan negara, mereka sanggup tak mengubah masa, tenaga dan pemikiran tanpa mengharapkan apa-apa.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi itu, setiap perwakilan bertanggungjawab untuk membina pemimpin-pemimpin masyarakat yang boleh dibanggakan sebagai seorang yang dilahirkan parti UMNO.

Sumber: TV3