PETALING JAYA: Menyelesaikan empat masalah yang sudah terlalu lama terbiar di Titiwangsa menjadi keutamaan Johari Ghani, sekiranya anak jati Kuala Lumpur itu diberi mandat, selepas lima tahun berkhidmat di sebalik tabir.
Calon wakil rakyat Parlimen Titiwangsa itu berkata empat masalah itu masih belum selesai sejak wakil rakyat lepas, Rina Harun dari Bersatu menyandang kawasan itu pada 2018.
Johari hampa pemimpin Bersatu itu meninggalkan Titiwangsa ke Sepang tanpa menyelesaikan isu-isu tertunggak, secara sistematik dan profesional.
“Kita perlukan pemimpin-pemimpin di kawasan untuk tangani isu ini dan bawa kepada pihak berkuasa dan selesaikan ia sama sekali,” katanya dalam wawancara FMT.
Empat masalah tersebut berkaitan pembangunan semula:
- Rumah pangsa PKNS di Kampung Sungai Baru;
- Rumah pangsa PKNS di Jalan Pekeliling;
- Pasar di Jalan Raja Bot, Chow Kit; dan
- Pasar di Kampung Datuk Keramat.
Pertama sekali Johari mahu selesaikan secara baik pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru yang tertangguh.
Seramai 89% penduduk yang memilih untuk memberi laluan kepada pembangunan semula berharap dapat pulang ke rumah baharu yang selesa. Namun, disebabkan pelbagai isu, kerja-kerja pembinaan rumah pangsa baharu belum bermula, hampir lima tahun kemudian, kata Johari.
“Ini memerlukan pemimpin yang betul-betul komited untuk bincang dan selesaikan masalah. Mesti ada iltizam politik. Bila kita nak selesaikan masalah, kita mesti guna pendekatan ‘menang-menang’. Rakyat pun menang kerana daripada duduk satu rumah flat dengan satu bilik air dan satu bilik tidur, akhirnya dapat tiga bilik tidur dan dua bilik air. Saiznya 850 kaki persegi atau 900,” katanya.
“Saya mesti kaji semua hal ini kerana semua isu ini berlaku ketika empat tahun enam bulan semasa saya bukan lagi wakil rakyat,” katanya.
Pembangunan tertangguh
Satu lagi projek tertangguh ialah pembangunan semula rumah pangsa PKNS di Jalan Pekeliling, yang menurut Johari sudah 14 tahun belum selesai.
Ketua Umno Wilayah Persekutuan ini juga mahu membina semula Pasar Jalan Raja Bot di Chow Kit, yang terbiar sejak 10 tahun lalu.
“Kita mesti memastikan bahawa kontraktor-kontraktor yang dilantik untuk membangunkan pasar ini mestilah yang berwibawa, yang boleh siapkan kerja mereka dalam masa yang telah ditetapkan.”
Pembinaan semula Pasar Kampung Datuk Keramat satu lagi keutamaan Johari. Pembinaan tergendala ekoran pertikaian antara pemaju dan pemilik tanah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Johari berkata kelewatan memberi masalah besar kepada peniaga, yang berharap pasar baharu itu akan menarik lebih banyak jualan dan keuntungan.
Mengimbau lima tahun pertama menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa dari 2013 hingga 2018, Johari berkata beliau berjaya mengusahakan pembinaan Pintasan Saloma yang membolehkan warga Kampung Baru ke KLCC dengan mudah.
Pementoran anak muda Titiwangsa
Johari, yang terlatih sebagai seorang juruakaun bertauliah, sudah 25 tahun berkecimpung dalam dunia korporat. Beliau menteri kewangan II dari 2016 hingga 2018, pernah menganggotai majlis ekonomi negara serta berkhidmat di pelbagai badan kerajaan.
Johari mahu menjadi mentor kepada generasi baharu warga Titiwangsa, terutama usahawan baharu.
“Saya tidak mahu beri duit,” katanya. “Katakan graduan gagal dapat kerja yang diingini dan cuba usahakan sesuatu dan perlukan nasihat yang betul, saya ada di sini dan sedia membantu.
“Saya jamin saya sedia terlibat dengan semua orang kerana di sini lah saya berada. Saya tak tahu tentang calon lain yang dari luar, tapi saya anak tempatan.”
Johari berdepan pertandingan empat penjuru untuk kerusi Titiwangsa. Pencabarnya bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mewakili Pakatan Harapan, Rosni Adam mewakili Perikatan Nasional, dan Khairuddin Abu Hassan mewakili Pejuang.
Kawasan Titiwangsa meliputi Setapak, Kampung Baru, Kampung Datuk Keramat, Taman Maluri, dan Kampung Pandan. Kawasan Parlimen itu bersempadan dengan Setiawangsa, Bukit Bintang, dan Pandan.
Seramai 80,747 mengundi di kawasan itu, terdiri daripada 70% Melayu, 17% Cina, 9% India, dan 2.8% lain-lain.
Source: FMT