20,000 hadir Rumah Terbuka KPK di Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Seramai 20,000 orang hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Perladangan dan Komoditi, di Perkarangan Pintu Gerbang Kampung Baru, di sini, hari ini. Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk meraikan majlis Aidilfitri itu bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan isteri, Datin Seri Zurwati Haslinda Zainal Bahry.

Majlis yang bermula pada jam 10 pagi hingga 3 petang itu tidak henti-henti menerima kunjungan tetamu yang menyediakan pelbagai juadah istimewa. Johari berkata, beliau berterima kasih kepada orang ramai yang hadir meraikan majlis Aidilfitri itu.

“Hari ini kita menyediakan makanan untuk seramai 20,000 orang dan kita jangkakan sejumlah itu akan hadir sehingga majlis ini selesai pada jam 3 petang nanti. “Bagi mereka yang belum sampai, saya jemput mereka hadir untuk kita sama-sama meraikan Aidilfitri di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Antara makanan yang disediakan adalah nasi beriani, kambing golek, mi kawah, gulai kawah, laksa, lemang dan rendang serta kuih-muih. Artis terkenal seperti Nabila Razali dan Hael Husaini turut mengadakan persembahan. Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPK, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Pengurusan tertinggi Media Prima Berhad (Media Prima) turut hadir meraikan sambutan itu termasuk Pengerusi Kumpulan, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks (MPTN) dan Primeworks Studios, Nini Yusof. Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen, Azhari Muhidin, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan NCA Media Prima merangkap Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Abd Karim dan Ketua Pegawai Operasi Print Tower Sdn Bhd (PTSB), Luqman Adrine Jaafar.

 

SUMBER: Berita Harian