KUALA LUMPUR: Kemanisan perayaan Deepavali dikongsi bersama 1,000 keluarga masyarakat kaum India Parlimen Titiwangsa.
Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata sumbangan berupa wang tunai dan bakul kuih raya itu bertujuan membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan menjelang perayaan pada minggu hadapan.
“Program ini dikhususkan kepada golongan B40 yang tinggal di sekitar kawasan ini bagi menghargai dan bersama-sama meraikan Deepavali.
“Dalam kawasan Parlimen Titiwangsa ini saya nampak masyarakat India, Melayu, Cina hidup dalam keadaan harmoni, dan sekiranya ada masalah dalam kalangan masyarakat kebiasaannya dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sumbangan Deepavali di Dewan Yayasan Bena Nusa Taman Maluri di sini, hari ini.
Bagi penduduk yang juga ibu tunggal, Selvarany Kanan, 53, meskipun ketiadaan insan tersayang, namun sumbangan ini memberi makna buat dirinya.
“Sumbangan ini boleh bantu beli baju atau barang kelengkapan lain biasanya beli barang basah sehingga RM400 dan dengan sumbangan ini dapat membantu serba sedikit, “ujarnya.
Penduduk yang lain, Kiren Darshiny Ravi, 29, berkata sumbangan itu juga sebagai tambahan kepada keluarga yang memerlukan.
“Dengan sumbangan tersebut kita rasa ada duit lebih sedikit untuk beraya dan gembira, serta ia dapat membantu terutamanya kepada mereka berkeluarga dan mempunyai anak kecil,” ujarnya.
Menurut Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, pendekatan itu juga bagi memastikan masyarakat lebih memahami bahawa sebarang bantuan ada yang mengambil masa untuk dilaksanakan.
“Contohnya permasalahan sistem jaringan TNB berhampiran kawasan ini, ramai yang membuang sampah di dalam lokasi itu, dan mendatangkan risiko jika ada kebakaran berlaku kepada sistem penghantaran tersebut.
“Justeru apa yang kita buat, saya dengan pihak TNB sudah bersetuju untuk kita buat timbunan supaya jangan ada yang masuk dan membuang sampah di kawasan berkenaan, memandangkan pihak Alam Flora dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah kerap membersihkan kawasan ini tetapi ada yang masih berdegil.
“Kita telah bincang dengan TNB untuk menutup kawasan itu, namun kita dapati ada 10 buah rumah di kawasan ini.
“Saya sedang berbincang dengan DBKL untuk membantu menyelesaikan pemindahan kesemua keluarga ini keluar dan kemudian kita akan buat timbunan dan kerja-kerja pelaksanaan yang lain,” katanya.
SUMBER: TV3

